} simpLe as Me

Saturday, April 9, 2011


Penerbangan selama 13 jam menerusi Malaysia Airlines telah menebak pelbagai rasa. Teruja, gentar dan berdebar tebal di benak hati, London merupakan siri pengembaraan yang telah banyak menjelajah negara-negara lain. Pengalaman Ke London selama seminggu merupakan pengalaman manis yang tidak akan larut sama sekali.

Selain bertemu teman, perjalanan ke London merupakan satu peluang bagi aku untuk menambahkan pengalaman merasakan perbedaan budaya dan adab, melihat pertembungan pelbagai budaya yang berbeda pancasila di bawah ruang langit yang satu. London dipanggil melting pot.

Tersentak rasa hati melihat London Tower dan House of Parliament dari pesawat, terasa seperti berada di dalam mimpi. Kerlipan neon Kota London cukup mempesonakan. Seperti dirancang, penerbangan MH002 telah selamat mendarat tepat jam 5.20 pagi waktu London tempatan.

Sejurus sampai dengan kepala yang seakan mamai, aku bergerak menghala ke immegresen bagi tujuan pemeriksaan. Melihat satu persatu penumpang berlalu pergi dengan mudah, aku menjangkakan proses pengesahan kemasukan ke Kota London adalah mudah, tapi ianya tersasar dari apa yang diramalkan. Kedatanganku ke Kota London mempunyai pandangan yang cukup skeptikal oleh pihak immegresen di sana.

Pelbagai soalan yang adakala menyesakkan fikiran telah diajukan, segala latarbelakang penulis telah diperiksa secara terperinci waima pekerjaan ibu bapa juga telah menjadi persoalan, ianya seakan sesi interview pekerjaan. Soalan demi soalan telah ditebak!

Pada mulanya aku cuba memperlihatkan aksi yang bersahaja dan tenang tetapi setelah lebih lima minit sesi 'interview' itu masih berterusan, penulis seakan hilang arah dan mula peluh mencurah-curah keluar di dalam kedinginan pagi itu dan setiap baris kata-kata menjadi tunggang langgang. Akhir sekali penulis dikehendaki mengistiharkan jumlah duit dan semua kad kredit yang dibawa.

Setelah sesi 'interview' tamat, aku terus mencapai bagasi keluar dengan sedikit perasaan ralat. Namun begitu persoalan itu telah dimatikan setelah berbicara dengan seorang warga tempatan yang pihak immegresen dan keselamatan di Lapangan Terbang Heathrow kini mempergiatkan langkah-langkah keselamatan berikutan siri letupan yang berlaku di sekitar London pada awal 2007. Selain itu, ianya bagi mengelakkan warga asing bermastatutin di Kota London.

'Perhatian' akan lebih diberikan kepada warga asia khususnya lelaki dan beragama Islam. Sukar menafikan dengan senario dunia sekarang telah banyak merobah dan menyukarkan kehidupan masyarakat Islam seantero dunia khususnya kaum adam!

Masih terngiang kata-kata ibu yang melarangku berjanggut untuk masuk ke Kota London untuk mengelakkan sebarang perkara berbaur sebegini. Pengalaman ditahan lama oleh pihak immegresen bukanlah yang pertama terdahulu ianya pernah berlaku semasaku masuk ke negara jiran Singapura, walaupun Singapura bukanlah negara asing buatku.

Walau apapun perjalanan penulis diteruskan, perkara yang pertama dilakukan adalah mendapatkan maklumat secara terperinci tentang sistem pengangkutan di Kota London. Mengikut nasihat teman2, adalah lebih baik dan menguntungkan jika bergerak dengan menggunakan Tube yang merupakan sistem pengangkutan yang menghubungkan hampir kesemua kawasan utama di dalam Kota London. Tube sama sistem aliran ringan Putra, STAR dan Komuter.

Apa yang menarik terdapat pelbagai jenis pakej penggunaan iaitu merangkumi One-day ticket, Three-day ticket atau Seven-day ticket malah tiket tahunan juga ada. Menerusi pembayaran tiket itu, para pengguna bebas menggunakan sebarang bentuk pengangkutan awam di dalam Kota London seperti Tube atau bas sebanyak yang mungkin.

Terdapat juga pendekatan yang berbeza, untuk mengurangkan kesesakan penggunaan Tube pada masa puncak, TfL syarikat pengurusan utama pengangkutan kota London telah menyediakan pakej yang berbeza, setiap pengguna yang menggunakan Tube ketika waktu puncak akan dikenakan bayaran yang lebih bebanding waktu-waktu biasa.

Untuk makluman, aliran Tube di sini terbahagi kepada beberapa jenis yang mengikut destinasi. Setiap destinasi akan diklasifikasikan dengan nama dan warna. Terdapat 12 rangkaian seperti Jubilee yang berwarna kelabu, Bakerloo berwarna coklat, District berwarna hijau, Circle berwarna kuning dan pelbagai lagi. Sistem pengangkutan di Kota London sememang sistematik, setiap rangkaian telah dipermudahkan dengan penyediaan satu penerangan berbentuk rangkaian aliran sistem pengangkutan di Kota London.

Selain itu, pengedaran peta laluan London secara meluas kepada para pengguna. Ini telah membantuku dalam banyak perkara. Dan setiap stesen tidak kira Tube ataupun bas akan disediakan papan eletronik berhubung masa ketibaan sesebuah kenderaan itu.

Dari Heathrow, aku menuju ke Bayswater, tempat di manaku akan menginap. Perjalanan ke Bayswater mengambil masa hampir 45 minit, untuk menuju ke Bayswater aku terpaksa menukar Tube di Earl's Courts stesen kerana Bayswater terletak di dalam aliran District Line berbeza Tube dari Lapangan Terbang Heathrow yang terletak di dalam aliran Picaddily.

Sejurus sampai ke Bayswater, aku menghala ke lokasi penginapan yang terletak 1 km dari stesen. Sepanjang laluan di kiri kanan terdapat puluhan kedai cenderamata yang menawarkan harga yang paling murah di kota London. Ini terbukti apabila aku melakukan tinjauan selepas itu di beberapa tempat. Sebagai contoh, rata-rata setiap tempat menjual fridge magnet dengan harga L2 atau lebih tetapi tidak di Bayswater yang menawarkan 12 keping dengan harga L10 sahaja.

Memandangkan tukaran wang RM kepada Paun adalah tinggi (RM7 bersamaan L1) ramai yang tidak menafikan kos kehidupan di London adalah tinggi bagi warga asing terutama dari Asia. Sememangnya fakta dan nasihat sebegini telah merisaukanku. Sehubungan itu, aku telah bersiap sedia dengan membawa duit poket yang dikirakan wajar untuk menampung kos penginapan, tambang seharian dan makanan. Istilah untuk membeli belah tidak ada langsung dalam pemikiranku, waima untuk membeli barangan cenderamata untuk rakan-rakan dan keluarga telah diketepikan sekali. aku cuba memastikan perbelanjaan tidak menyekat aktiviti riadahku di sana....


continue in next entrY...

0 comments:

Template by:

Free Blog Templates